Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki  yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak  rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik  kita hanya usaha.
Jadi, berusahalah dengan baik, Allah  pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak  kewajiban untuk mentadbir.
“Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya,” kata seorang abang yang sangat saya hormati.
“Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?”
“Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,” jawabnya pendek.
“Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan  itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada  ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?” gurau saya.
“Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain…”
Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya  saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan  kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.
“Sebelum aktif sebagai aktivis Islam  seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama  sejak di sekolah rendah lagi,” jelasnya dengan tenang.
“Habis mengapa putus?”
“Kami putus kerana dia ada jalan  tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia  selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10  tahun bercinta.”
Wah, ini kisah cinta yang  dramatik! Saya  tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam,  tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.
Isteri Amanah
“Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana  dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?” kata saya beralih  kepada maksud asal pertanyaan.
“Setelah putus, abang terus pinta guru  agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa  diganggu gugat lagi oleh emosi cinta.”
“Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?”
“Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa.”
“Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?”
“Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal?  Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan  abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak  secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat  wajahnya.”
Saya terkesima sebentar dan dengan pantas  saya bertanya kembali, “Tetapi abang akan terpaksa juga membuat  perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat  wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang  juga.”
Sekali lagi dia senyum. Matanya  bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia  memang bercakap dari hatinya.
“Amat jauh bezanya antara membandingkan  wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang  telah kita nikahi…”
Pendek dia menjawabnya, namun terus  menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, “Apabila seorang  wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh  Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan  akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang  ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada  kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya,  siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua.”
Cantik Itu Relatif dan Subjektif
“Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah  atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er… er…  kita masih manusia bukan?” saya menduga hatinya.
Dia ketawa tiba-tiba.
“Ya, kita masih manusia. Tetapi kita  bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman  kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya,  kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya,  akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya.”
“Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?”
“Semua yang datang daripada Allah ada  kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita  berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan  khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak  mendapat yang baik, bukan begitu?”
“Bukan yang cantik?” jolok saya lagi.
“Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder,  bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah  ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik  itu mutlak dan lebih kekal sifatnya,” balasnya dengan yakin.
“Maksud abang?”
Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.
“Kecantikan seorang wanita tidak sama  tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi  dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada  kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.”
Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah  lagi, “Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan  nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus.  Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis  apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami.”
“Oh, betul juga tu!” kata saya. Teringat  betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya,  “Sedap di mata tetapi sakit di hati…”
Wasilah Memilih Jodoh
“Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?” ujar saya dengan soalan nakal.
“Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja.”
“Maksudnya yang dulu lebih cantik?”
“Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan  berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar  biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah  pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah.  Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?”
Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.
“Apa kaitannya dengan hati?” layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.
“Kalau hati kita indah, kita akan  sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak  akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin  akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah,  orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang  fatamorgana!”
‘Ah, tentu dia bahagia kini!’ bisik hati saya sendiri.
“Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?”
“Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama,  jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang  baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan  memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita.”
Sambungan Disini.. 
Dipetik dr : http://genta-rasa.com
 

No comments:
Post a Comment